Dalam majlis ini, seramai 96 pelajar menerima Diploma Syariah Islamiyyah, 55 pelajar menerima Diploma Usuluddin dan tujuh lagi adalah graduan sulung bagi program Diploma Kewangan dan Perbankan Islam.
Ahmad Basya Fadzillah pemegang jurusan Diploma Usuluddin menerima Anugerah Pelajar Cemerlang dengan menerima sijil dan wang tunai berjumlah RM5,000. Selain itu, beliau turut menerima Anugerah Pengerusi.
Antara lain, Nurmaizan Abd Wahid (Diploma Syariah Islamiyyah) menerima Anugerah Pelajar Terbaik Syariah; Muhammad Mudzaffar Mohamed Aminudden (Diploma Usuluddin) menerima Anugerah Pelajar Terbaik Usuluddin dan Nurin Afiqah Abdul Azis (Diploma Kewangan dan Perbankan Islam) menerima Anugerah Pelajar Terbaik Muamalat.
Mohammad Fahrur Razi Md Sallehuddin (Diploma Syariah Islamiyyah) menerima Anugerah Pengerusi dan Siti Nur Nadhirah Tumiran (Diploma Syariah Islamiyyah) menerima Anugerah Khas Yayasan Sofa Negeri Sembilan.
Penerima Anugerah Khas Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Anugerah Khas PTPTN diwakili oleh Nurul Syameen Abd Rahman (Diploma Usuluddin).
Majlis konvokesyen ini disempurnakan oleh Undang Luak Rembau, Yang Teramat Mulia Dato’ Lela Maharaja Dato’ Haji Muhamad Sharip Haji Othman.

Menurut Ketua Eksekutif KIS, Mohd Sufi Ibrahim, kesemua graduan masing-masing menerima Diploma Syariah Islamiyyah, Usuluddin, Kewangan dan Perbankan Islam pada konvokesyen berkenaan. Mereka adalah daripada kumpulan kedua selepas kali pertama majlis seperti ini diadakan tahun lalu.
Katanya, institusi pendidikan di bawah SEG ini berpegang kepada falsafah kesepaduan antara ilmu, iman dan amal yang berasaskan al-Quran dan sunnah yang menjadi dasar ke arah melahirkan insan yang bertakwa dan berketerampilan menyumbang kepada kesejahteraan agama, bangsa dan negara.
Dalam konvokesyen KIS kali ke-2 itu turut disampaikan Ijazah Ilmu (Turath) yang diadakan pada sesi berbeza dan disempurnakan oleh Tokoh Ulama Dunia, Dr Sayyid Nafi’ ibn al Arabi as Sanusi al Hasani.
Turut sama dalam majlis konvokesyen itu ialah Pengerusi SEG, Datuk Haji Muhammad Fuad Kamaluddin; Ahli Lembaga Pengarah KIS, Malizan Mahmood dan Haji Mohamed Radzif dan Setiausaha MAINS, Tuan Haji Kamal Amran Kamarudin.
Foto AHMAD ZAHRIL
Tidak ada komentar:
Posting Komentar