Beberapa kawasan telah dinaiki air iaitu sekitar Kampung Selipar Putus, Kampung Tabuan Dayak, Padungan, Batu Lintang, kawasan perumahan di daerah Samarahan, dan beberapa kampung di daerah Bau. Tinjauan mendapati kesesakan teruk berlaku di beberapa tempat di sekitar bandar raya apabila beberapa jalan tidak dapat dilalui akibat dinaiki air. Antara kawasan yang didapati dinaiki air ialah Hospital Umum Sarawak (HUS), Ibu Pejabat Polis Kontinjen di Jalan Badaruddin, Balai Bomba Padungan, Fakulti Perubatan Unimas, kampus UiTM Samarahan dan Padang Merdeka.
Sementara itu satu kejadian tanah runtuh turut dilaporkan berlaku di KM18 Jalan Serian Tebedu mengakibatkan laluan itu terputus. Jumlah mangsa banjir di daerah Serian, Sarawak, kekal 631 orang daripada 195 keluarga yang ditempatkan di dua pusat pemindahan. Beberapa penduduk yang tinggal sekitar pinggir sungai juga telah dipindahkan, namun sehingga kini jumlahnya masih belum dapat dimuktamadkan.
PERUBATAN menyeru kepada semua ahli untuk mendoakan kesejahteraan rakyat Malaysia di Sarawak. Semoga mereka tabah dengan ujian yang menimpa mereka. Semoga Allah memelihara mangsa banjir di Sarawak.
Sumber: Astro Awani
Tidak ada komentar:
Posting Komentar